comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak istimewa berbakat besar hasilkan tulisan khat

Muhammad Zul Muazzam Zul Azman, 12, penghidap Autisme menunjukkan kemahiran menghasilkan penulisan khat mengikut kreativiti sendiri selain mengenakan tona warna yang menarik sebagai latar belakang lukisan. Semua tulisan khat yang dihasilkan menggunakan tanganya sendiri tanpa tekapan ketika ditemui semasa pulang bercuti di Kampung Gual Nibong, Gual Periok. – FOTO: NSTP

RANTAU PANJANG: Kanak-kanak autisme berusia 12 tahun Muhammad Zul Muazzam Zul Azman, memiliki bakat besar menghasilkan penulisan khat selain celik al-Quran.

Lebih mengagumkan, apabila anak istimewa terbabit tidak mempelajari seni khat melalui mana-mana guru, sebaliknya hanya menjadikan YouTube sebagai rujukan.

Ibunya, Shazlita Yusoff, 36, berkata bakat anaknya mula disedari seawal usia enam tahun apabila Muhammad Zul Muazzam dilihat sering menghafal surah al-Quran sambil menulis potongan ayat berkenaan pada kertas.

FOTO: NSTP

“Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya menyediakan alatan khas penulisan khat supaya dia tidak bosan dan dapat memanfaatkan masa terluang. Tidak sangka, hasil tangannya semakin ‘menjadi’, malah mendapat pujian ramai.

“Dia bukan sahaja boleh melakar pelbagai zikir tetapi juga ayat suci al-Quran mengikut kreativiti sendiri selain mengenakan tona warna yang menarik sebagai latar belakang lukisan. Semua tulisan khat yang dihasilkan sendiri tanpa tekapan.

“Anak saya seorang yang ceria namun agak terbatas untuk komunikasi dua hala, dan saya dapat rasakan penulisan khat ini seperti suatu terapi buat dirinya yang juga penghidap autisme,” katanya ketika ditemui di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, di sini.

FOTO: NSTP

Shazlita berkata, anak sulong daripada empat adik beradik itu mendapat pendidikan melalui Program Pendidikan Khas (PPKI) di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Unjur, Bukit Tinggi, di Klang, Selangor.

Beliau juga tidak menyangka hasil tangan Muhammad Zul Muazzam yang ditunjukkan di laman sosial Facebook menjadi tarikan malah sudah banyak terjual dengan harga serendah RM10 sehingga RM50 bergantung kepada hasil yang dilakarnya.

“Selain itu, anak saya juga mampu menghafal al-Quran serta membacanya secara bertaranum dengan baik. Malah jika saya sendiri terlupa halaman muka surat sesuatu surah, dia boleh memberitahunya dengan tepat.

“Antara surah yang sering dibaca ialah al-Waqiah, Ar-Rahman, Sajadah, al-Mulk, al-Kahfi dan Yasin. Alhamdulillah, dia juga tidak pernah lupa mengerjakan solat lima waktu selain sering mengingatkan kami sekeluarga supaya sembahyang di awal waktu.

“Tiada apa-apa tips yang boleh saya kongsikan tetapi semua anak saya memang didedahkan dengan al-Quran sejak kecil, manakala bakat Muhammad Zul Muazzam pula saya kira sebagai anugerah Allah selepas di diuji menghidap autisme,” katanya yang juga seorang suri rumah tangga.- BERITA HARIAN

Loading...
Terkini