KOTA BELUD: Kanak-kanak perempuan yang dilaporkan hilang ketika mandi di sungai Kampung Piasau, semalam ditemui lemas pagi ini.
Mayat Lysbet Tom Jones, 10, ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama orang kampung pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang pada jam 8.36 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Muhammad Syazwan Latun berkata, pasukan operasi bersama agensi penyelamat lain memulakan operasi SAR hari kedua, pada jam 8.10 pagi.
Katanya, operasi pencarian dengan kaedah surface rescue dan selaman.
“Mangsa berjaya ditemui oleh pasukan SAR bersama orang kampung pada jarak 600 meter dari lokasi mangsa dikhuatiri lemas.
“Seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, susulan penemuan mayat mangsa, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang semalam, Lysbet Tom Jones dipercayai hilang ketika melakukan aktiviti mandi-manda di sungai berkenaan bersama beberapa rakannya.
Berikutan itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud yang menerima panggilan kejadian itu pada 2.41 petang dan menggerakkan operasi mengesan kanak-kanak terbabit.
Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan penduduk kampung.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.