Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak GISBH hanya selesa dalam kalangan jemaah – Shuhaily

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Operasi OP Global yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes GISB Holdings (GISBH) boleh dikatakan kes yang agak mencabar bagi pasukan sang saka biru bagi tahun 2024.

Menceritakan pengalaman sepanjangan pengendalian kes berkenaan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, wujud tanda tanya melibatkan kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi berkenaan.

 

Sepanjang proses menyelamat, hampir kesemua kanak-kanak mula menunjukkan ketakutan yang amat sangat dalam kalangan anggota polis.

Bagaimanapun keselesaan mereka mula menyerlah sebaik sahaja mula bersama dalam kalangan jemaah GISB.

“Anak-anak kecil perempuan khususnya, agak gentar dengan kehadiran pihak polis dan itu agak mengejutkan kita kenapa ada ketakutan yang amat sangat.

“Apabila didatangi lelaki dari jemaah mereka (GISB) walaupun bukan muhrim, mereka mula selesa dan tak tunjuk ketakutan seperti mana yang dipamerkan terhadap anggota polis,” katanya ketika sesi podcast khas Buletin TV3 hari ini.

Situasi itu katanya memaksa pihak polis untuk melakukan pertukaran pasukan dalam mencari keselesaan dalam kalangan kanak-kanak berkenaan.

“Jadi kita terpaksa tukar pegawai penyiasat asal kepada pegawai wanita jadi keadaan itu terus bermain dalam fikiran pegawai penyiasat. Selebihnya kita serah kepada pihak yang pakar, JKM dan agensi berkaitan,” kongsinya lagi.

Bagaimanapun, dari sudut pandang yang lain, Datuk Seri Mohd Shuhaily memuji keperibadian kanak-kanak GISB yang dilihat bijak mengurus diri dan mempunyai sikap berdikari yang agak tinggi.

Dalam pada itu, tindakan menyelamat kanak-kanak GISB turut mengundang pelbagai spekulasi dan stigma terhadap anggota polis namun jelasnya, ia dilakukan berlandaskan proses tertentu.

Ini termasuk dakwaan dalam kalangan ibu bapa yang menyifatkan polis telah memisahkan mereka bersama anak-anak.

“Ketua Polis Negara (Tan Sri Razarudin) ada syorkan supaya ibu bapa tampil bantu siasatan tetapi tiada siapa pun yang muncul (ibu bapa). Kita tak boleh terus serah (anak-anak) kerana ada arahan mahkamah untuk menjaga.

“Apabila pendakwaan mula, ada yang mula datang dan dakwa mereka dipisahkan. Kita dah jelaskan ada SOP tertentu dan ini bukan asrama penuh boleh datang ambil dan serah begitu sahaja,” katanya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini