Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global mulakan sesi persekolahan Isnin depan

Semua kanak-kanak itu akan menjalani sesi persekolahan seperti kanak-kanak lain yang berada di bawah jagaan JKM.

Oleh: Kadir Edison

KUCHING: Seramai 10 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global dan masih di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menjalani sesi persekolahan bermula Isnin depan.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata , proses penghantaran kanak-kanak terbabit ke sekolah aliran perdana dilakukan sama seperti kanak-kanak lain di bawah jagaan JKM.

“Jika mereka perlu pergi ke sekolah, maka kita akan hantar kerana kanak-kanak ini tiada bezanya dengan kanak-kanak lain di bawah jagaan kita sekarang.

“Arahan sama turut diberikan kepada penjaga atau orang yang layak dan sesuai (OYLS) untuk menghantar kanak-kanak terlibat ke sekolah, sesuai dengan perintah mahkamah ketika mereka menuntut kanak-kanak itu,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyampaian Mock Check Program Sejati Madani di sini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan (KPM), Fadhlina Sidek berkata, kanak-kanak yang diselamatkan dalam operasi itu dan sedang menghadapi kes di mahkamah akan mengikuti sesi persekolahan baharu sebaik proses itu selesai.

KPM masih mendapatkan serta mengumpul data terperinci berhubung kanak-kanak berkenaan sebelum sebarang tindakan susulan dilaksanakan.

Sebelum ini, kesemua kanak-kanak itu mengikuti kelas-kelas khas yang dikendalikan KPM di tempat-tempat perlindungan yang ditetapkan telah dihentikan sebentar bagi memberi laluan kepada kes mahkamah yang dihadapi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini