Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak dipatuk ular semakin stabil, tidak akan tertinggal sesi persekolahan

Kanak-kanak yang dipatuk ular, Isnin lalu, kini berada dalam keadaan stabil di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

Oleh: Selwam Arjunan

KANGAR: Kanak-kanak yang dipatuk ular di rumah neneknya di Utan Aji, di sini, Isnin lalu, kini berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, Muhamad Amsyar Muhamad Nizam, 7, masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar sebelum dibenarkan pulang dan memulakan sesi persekolahan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Long Boh itu akan memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran selepas sembuh sepenuhnya.

“Saya sempat menziarahi murid itu di hospital semalam untuk memberi dorongan dan semangat. Dia dilaporkan berada dalam keadaan stabil sekarang.

“Dia tidak akan ketinggalan dalam pembelajaran kerana minggu pertama persekolahan lebih berfokus kepada sesi pengenalan dan penyesuaian diri dengan suasana sekolah.

“Kami memberi sokongan kepada ibu bapa murid itu dan menasihatkan agar tidak bimbang. Setelah pulih, dia boleh kembali ke sekolah seperti biasa.

“Pihak sekolah juga dimaklumkan mengenai situasi ini agar ketidakhadiran murid terbabit difahami,” katanya ketika ditemui Buletin TV3, di sini, hari ini.

Katanya, langkah itu selari dengan akta pendidikan yang memastikan setiap murid tidak terhalang daripada mendapat pendidikan.

Sementara itu, Rose Aza turut menasihatkan ibu bapa dan pihak sekolah agar lebih berhati-hati sepanjang musim panas bagi mengelakkan ancaman haiwan berbisa.

“Saya menyarankan para guru supaya memastikan murid memeriksa bawah laci, meja serta tempat-tempat lain yang berpotensi menjadi tempat persembunyian haiwan berbisa, termasuk ular dan lipan.

“Di Perlis, ular sering mencari tempat yang sejuk untuk berlindung,” jelasnya.

Dalam kejadian jam 1 pagi Isnin lalu, Muhamad Amsyar dipatuk ular berbisa sebanyak tiga kali di kaki kanan dan tangan kirinya ketika sedang tidur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini