Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak cedera diserang kera liar

Bahagian belakang Muhammad Ammar Hakim Sanusi yang cedera diserang kera liar – FOTO IHSAN ADUN BUKIT BESI.

DUNGUN: Seorang kanak-kanak lelaki cedera selepas diserang seekor kera liar dalam kejadian yang berlaku di rumahnya, di Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Muhammad Ammar Hakim Sanusi, 10, cedera di bahagian badan, punggung dan lengan akibat digigit dan dicakar kera terbabit.

Ketika kejadian, mangsa dikatakan turun dari rumahnya untuk pergi mengaji Al-Quran di sebuah rumah penduduk di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Besi, Ghazali Sulaiman ketika ditemui mengesahkan kejadian yang berlaku.

Katanya, ketika berjalan keluar dari rumahnya, secara tiba-tiba seekor kera mengejar sebelum menerkam belakang mangsa.

“Kera terbabit dipercayai datang dari bahagian belakang kediaman mangsa, akibat serangan itu, mangsa menjerit kesakitan dan meronta-ronta untuk melepaskan gigitan kera terbabit.

“Mangsa berlari untuk menyelamatkan diri namun kera terbabit terus mengejar dan menyerang mangsa,” katanya.

Ghazali berkata, ibu mangsa yang terdengar jeritan meminta tolong dari anaknya itu bergegas turun dan menghalau kera terbabit.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan AMBS sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu (HSNZ) untuk rawatan lanjut.

“Saya bersimpati dengan kejadian itu dan telah menghubungi pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk diambil tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini