PETALING JAYA: Pencarian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dilaporkan hilang sejak semalam berakhir, apabila mangsa ditemukan meninggal dunia malam ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Fakhrudin Abd Hamid, mayat Zayn 6 tahun itu dijumpai di kawasan sungai, jam 10 malam tadi.
Katanya, sungai itu berjarak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah Zayn Rayyan di Apartmen Idaman, Damansara Damai.
Pencarian kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dilaporkan hilang sejak semalam, akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui meninggal dunia malam ini di kawasan sungai, jam 10 malam tadi. pic.twitter.com/wofm9p51gR
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) December 6, 2023
Penemuan kanak-kanak berkenaan sejurus Op Tutup rumah ke rumah yang digerakkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya bermula 9 malam.
Menerusi operasi itu, 40 anggota polis bersama 60 penduduk setempat bekerjasama mencari di setiap 2,484 unit kediaman di 18 blok Apartmen Idaman.
Bermula semalam, pencarian turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Unit Anjing Pengesan (K9) yang membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran sekitar 300 meter radius.
Zayn Rayyan disedari hilang sejak 12.30 tengah hari Selasa, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.