Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak Autisme hilang ditemukan lemas di Sungai Kedah

Kenderaan polis yang membawa jasad kanak-kanak autisme tujuh tahun yang ditemukan lemas di Sungai Kedah. – Foto NSTP

ALOR SETAR: Kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang di Taman Tunku Tabor sejak petang semalam ditemukan lemas di Sungai Kedah, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, berkata jasad mangsa, Firash Daniel Muhammad Hafeez Ansle, ditemukan berhampiran tebing sungai, kira-kira 100 meter dari rumah keluarganya.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak itu pada jam 5.40 petang semalam selepas ibu mangsa menyedari kehilangannya pada jam 4.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad pada sidang media di lokasi pencarian kanak-kanak autisme yang ditemukan lemas di Sungai Kedah. – Foto NSTP

“Terdahulu, ibu kanak-kanak terbabit menyedari kehilangan anaknya pada jam 4.30 petang. Susulan laporan diterima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berusaha mengesan kanak-kanak ini mulai jam 6 petang semalam membabitkan 30 anggota.

“Pencarian awalnya di kawasan taman perumahan dan darat serta pesisir Sungai Kedah,” katanya pada sidang media di lokasi penemuan mangsa di Sungai Kedah, hari ini.

Menurutnya, operasi pencarian disambung pagi tadi, dan jasad mangsa ditemukan pada jam 8.12 pagi, kira-kira 30 minit selepas operasi bermula.

“Anggota polis ternampak tangan mangsa dan berjaya membawanya naik ke tebing sungai. Mangsa ditemui lemas dalam keadaan tidak berpakaian dan jasadnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk tujuan bedah siasat.

“Kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya.

Tambahnya, pakaian dan selipar kanak-kanak itu sebelumnya ditemukan di tepi longkang, kira-kira 20 meter dari rumahnya.

“Kanak-kanak itu dipercayai memakai lampin pakai buang tetapi membukanya dan berjalan menuju ke sungai sebelum terjatuh,” katanya.

Media semalam melaporkan, kanak-kanak lelaki autisme berusia tujuh tahun dilaporkan hilang berhampiran kawasan kediamannya di Taman Tunku Tabor, Jalan Gangsa, di sini.

Operasi pencarian dilakukan oleh pihak polis dari IPD Kota Setar bersama anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar sejak petang semalam.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini