SANDAKAN: Dua maut termasuk seorang kanak-kanak manakala tiga lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Batu 17, Jalan Gum-Gum, di sini, pagi tadi.
Mangsa yang maut adalah seorang lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.
Setakat ini, maklumat lanjut mengenai mangsa terbabit belum diperoleh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus @ Mohd Nidzam Sainkui berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.09 pagi.
“Sebaik jentera tiba di lokasi, kami mendapati kemalangan berlaku membabitkan sebuah lori lima tan bertembung dengan Perodua Axia. Terdapat lima mangsa terbabit dilaporkan.
“Tiga mangsa sudah dikeluarkan orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi manakala dua mangsa tersepit,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas.
“Dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Katanya, tiga lagi mangsa iaitu dua kanak-kanak perempuan dan seorang lelaki dewasa yang cedera dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.