RANTAU PANJANG: “Adik ada mengadu sakit di bahagian belakang leher selain menangis teruk tengah malam tadi, tetapi tidak sangka ia tanda bahawa adik akan pergi buat selamat-lamanya.”
Itu luahan Muhammad Denish Alfi Abd Talib, 14, abang kepada Nur Iezarra Abd Talib, 9, yang disahkan meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di rumahnya sekitar jam 12.15 tengah hari tadi di Kampung Gual To’Deh, di sini, hari ini.
Katanya, pada jam 1.30 pagi tadi, dia ada melihatnya adiknya ke tandas sebelum arwah datang menghampirinya dan meminta untuk tidur di ruang tamu bersama-sama.
“Bagaimanapun, adiknya itu sekali lagi dilihat menggelupur kesakitan seperti terkena sawan dan dia sempat membantu menggosok tubuh arwah sambil menasihati adiknya agar bersabar.
“Manakala ibunya, Yusnieta Mohd Lawi, 40, yang juga sedang demam bangun membantu menenangkan Nur Iezarra dengan membuka ayat suci al-Quran sebelum dia dilihat tidur semula.
“Bagaiamanapun, ketika saya bangun pagi tadi saya pelik melihat Iezarra tiba-tiba tidur dalam keadaan tertiarap di hadapan bilik ibu malah dia masih tidak bergerak sehingga ke tengah hari,” katanya.
Muhammad Denish berkata dia cuba mengangkat adiknya namun terkejut apabila badan Iezarra seperti sudah mengeras dan terus mengejutkan ibunya yang juga disangkakan sedang tidur.
“Kemudian saya terkejut apabila ibu pula dalam keadaan tidak dapat bergerak dengan tangan kirinya menjadi lembik seperti terkena serangan angin ahmar,” ujarnya.
Muhammad Denish kemudian memberitahu bapa, Abd Talib Abdullah, 42, tentang kejadian itu sebelum meminta bantuan orang kampung untuk menelefon agensi penyelamat bagi membawa mereka ke hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed, ketika dihubungi mengesahkan laporan kematian mengejut kanak-kanak berusia sembilan tahun.
“Anggota membawa keluar jenazah mangsa termasuk ibunya yang tidak sedarkan diri dipercayai terkena serangan angin ahmar menggunakan lori kerana kawasan itu terkepung banjir sebelum dibawa ke Hospital Pasir Mas (HPM).
“Pemeriksaan tubuh badan mangsa didapati terdapat kesan bintik-bintik lebam di bahagian bawah pipi dan telinga sebelah kanan dan pihak hospital mengesahkan kematian mangsa pada jam 8.30 malam tadi,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.