![](https://media.buletintv3.my/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-12-at-8.24.11-AM.jpeg)
RAUB: Seorang bapa berusaha menyelamatkan anak perempuannya berusia lima tahun dengan menarik mangsa naik ke atas tebing gaung sejurus kenderaan dinaiki mereka terbabit kemalangan di Jalan Lama Raub – Bentong, semalam.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, dalam kejadian berhampiran jambatan besi, Pekan Tras, jalan lama Raub ke Bentong jam 6 petang semalam, kereta dinaiki mangsa terhumban ke dalam gaung.
Beliau berkata, kereta dipandu lelaki berusia 30 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Tranum menuju ke Raub.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta berkenaan dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam gaung.
“Bapa kepada kanak-kanak itu yang masih sedar kemudian berusaha membawa keluar anak perempuannya dari dalam kenderaan. Dia kemudian membawa naik anaknya itu ke atas tebing gaung berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, petugas perubatan dari Hospital Raub yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kanak-kanak itu meninggal dunia di lokasi kemalangan.
“Siasatan awal di tempat kejadian dapati kemalangan berpunca pemanduan secara cuai sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.