PASIR GUDANG: Dua cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua buah lori tangki dan dua buah kereta, di persimpangan lampu isyarat Jalan Persiaran, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang, dekat sini, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu membabitkan lori tangki jenis Volvo dan Scania, sebuah kereta Proton Saga dan Perodua Viva.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat pihaknya menerima panggilan jam 2.49 petang.
“Sebuah jentera bersama enam anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Ramli Ahmad bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan dan mendapati dua buah lori tangki dan kereta Proton Saga serta Perodua Viva terbabit dalam kemalangan berkenaan” katanya.
Akibat kemalangan itu, kereta Perodua Viva remuk teruk dan pemandunya yang berumur 56 tahun cedera parah.
Turut cedera seorang kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang berada dalam kereta Proton Saga.
Manakala pemandu dua buah lori tangki masing-masing berumur 58 dan 47 tahun dan pemandu Proton Saga berumur 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dua mangsa yang cedera diberi rawatan awal sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi sebelum dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut.
Punca sebenar kemalangan masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.