PASIR PUTEH: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan di KM 10 Jalan Pasir Puteh-Machang, Gerik, Kampung Kandis, di sini, pagi tadi, meninggal dunia.
Mangsa adalah kanak-kanak berusia tiga tahun, iaitu anak kepada wanita yang maut dalam kemalangan itu.
Kanak-kanak itu disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, kedua-dua mangsa yang maut menaiki kereta Perodua Viva dipandu wanita berusia 36 tahun itu.
“Seorang lagi penumpang Perodua Viva adalah remaja berusia 18 tahun, iaitu anak saudara mangsa yang turut parah.
“Sementara, pemandu sebuah lagi kenderaan mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zaizul berkata, ketika kejadian, Perodua Viva itu dipercayai dari arah Machang menghala ke Pasir Puteh sebelum hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Katanya, kereta itu kemudian berlanggar dari arah hadapan dengan kereta jenis utiliti sukan (SUV) jenis Toyota Cross dipandu seorang wanita berusia 30 tahun.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Menurutnya, individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh ke balai berdekatan atau berhubung terus dengan Penolong Pegawai Penyiasat Trafik, Sub Inspektor Jafri Alias di talian 019- 9386224.
Terdahulu media melaporkan seorang mangsa wanita berusia 30-an maut di tempat kejadian, manakala dua lagi termasuk kanak-kanak perempuan parah dalam kejadian jam 6.40 pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa