JELEBU: Kanak-kanak berusia tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 19 Jalan Seremban-Simpang Pertang (Bukit Tangga) di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Maslan Udin berkata, mangsa adalah salah seorang daripada dua yang maut dalam kemalangan yang membabitkan kereta Perodua Viva dan motosikal.
“Kanak-kanak berkenaan bersama keluarga menaiki kereta Perodua Viva manakala seorang lagi yang maut, penunggang motosikal Yamaha Legenda berusia 48 tahun.
“Siasatan awal mendapati kereta dinaiki keluarga berkenaan dari arah Seremban ke Kuala Klawang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan motosikal dari arah Kuala Klawang ke Seremban.
“Akibat kemalangan itu, dua mangsa meninggal dunia ketika menerima rawatan di tempat kejadian manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jelebu untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Maslan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pihaknya meminta kerja sama orang ramai yang mempunyai maklumat, tampil membantu siasatan.