LAHAD DATU: Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas motosikal dinaiki bersama tiga ahli keluarganya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Batu 4, Bulatan Jalan Pan Borneo, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, mangsa yang berusia 2 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, ketika kejadian, motosikal yang dipandu bapa mangsa bergerak dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.
Katanya, sebaik memasuki bulatan jalan, sebuah lori yang dipandu seorang lelaki berusia 59 tahun tiba-tiba keluar dari simpang jalan di sebelah kiri.
“Akibat jarak terlalu dekat, bapa mangsa gagal mengelak dan terus merempuh tayar hadapan lori berkenaan.
“Susukan kejadian berkenaan, mangsa bersama tiga lagi ahli keluarganya tercampak di atas jalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tiga lagi ahli keluarga mangsa iaitu bapa mangsa berusia 47 tahun bersama abangnya, 3, dan ibu, 29 tahun, mengalami kecederaan.
Katanya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk mendapatkan rawatan segera.
“Sampel darah pemandu dan penunggang motosikal sudah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk ujian alkohol serta dadah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulbaharin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee ditalian 089-881225.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.