comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 2 tahun maut diserang anjing liar di Semporna

Foto hiasan

SEMPORNA: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas dipercayai diserang sekumpulan anjing liar berhampiran rumahnya di Kampung Sungai Tohok, dekat sini, semalam.

Difahamkan kejadian kira-kira jam 8.41 pagi itu mangsa, Nazrin Sah Nasir, 2, bersama sepupunya dikatakan pergi ke kedai yang terletak di hadapan rumahnya manakala bapanya dikatakan sedang bersarapan dan tidak menyedari kejadian itu.

Sumber memberitahu, mangsa kemudiannya ditemukan oleh orang kampung dalam keadaan berlumuran darah disyaki diserang sekumpulan anjing liar dekat tepi dewan berdekatan rumahnya kira-kira jam 9 pagi.

“Mangsa seterusnya dikejarkan ke Hospital Semporna namun dilaporkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan,” katanya.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Sungai Tuhok selepas proses bedah siasat dijalankan di Unit Forensik Hospital Tawau.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan insiden itu yang dibuat bapa saudara mangsa kira-kira jam 10.33 pagi, hari yang sama.

Menurutnya, sebelum itu pihaknya mengesan penularan satu video berdurasi 8 saat di media sosial yang memaparkan seorang kanak-kanak terbaring tanpa pakaian dan berlumuran darah selain terdapat kesan gigitan pada tubuh mangsa.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihaknya membuka kertas siasatan berhubung kes terbabit yang diklasifikasi sebagai kematian mengejut (SDR).

“Sehubungan itu, polis menasihatkan orang awam supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi menghormati serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

“Polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan operasi menangkap anjing liar bagi menjamin keselamatan masyarakat setempat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini