comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 12 tahun hilang ditemukan selamat, disyaki diculik

PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang, pada 8 Oktober lalu ditemukan dalam keadaan selamat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, mangsa ditemukan jam 2.30 petang.

Beliau berkata, hasil siasatan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berdekatan mendapati kanak-kanak itu berjalan sebelum menaiki sebuah Perodua Myvi dipercayai diculik.

Katanya, polis mengklasifikasikan semula kes mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menculik mana-mana orang atau dari penjagaan yang sah di sisi undang-undang.

“Bertindak atas maklumat, pada jam 5 petang semalam, enam individu warga tempatan termasuk dua wanita ditahan di Segambut Dalam, Setia Alam dan Pandamaran oleh anggota Cawangan D8, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan.

“Hasil semakan terhadap kesemua suspek berusia 13 hingga 23 tahun itu mendapat seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak itu mengenali salah seorang daripada suspek dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Katanya, polis turut merampas Perodua Myvi yang dipercayai digunakan ketika kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Media pada Rabu lalu melaporkan kanak-kanak berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas turun mengambil makanan dari kereta yang diparkir di bawah kediamannya di sebuah flat di Bandar Bukit Tinggi 1, Klang.

Hoong Fong berkata, kanak-kanak itu ke tempat parkir selepas disuruh ibunya mengambil makanan dalam kereta pada Selasa.

“Kanak-kanak itu turun seorang diri dan tidak kembali ke rumah. Pada jam 3 petang, ibu mangsa bertindak mencari namun tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini