KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia disyaki akibat strok haba dan dehidrasi, kelmarin.
Mangsa, Muhamad Syamil Aqil, 11, menghembuskan nafas terakhir di Klinik Kesihatan Balai dekat Bachok, jam 9.27 pagi.
Ibu, Wanie Alias, 32, berkata, pada hari raya pertama dan kedua, anaknya masih sihat dan aktif beraya bersama adik-beradik dan saudara-mara.
Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu sangat aktif apabila dapat bermain basikal sebelum demam dan cirit-birit pada hari raya ketiga.
“Saya sentiasa memantau keadaan anak setiap jam dan mendapati suhunya sekitar antara 37 hingga 38 darjah Celcius.
“Pada hari raya keempat selepas Subuh, saya lihat keadaan anak lemah sebelum mahu membawa anak ke klinik kesihatan, namun ketika sedang bersiap anak tiba-tiba diserang sawan.
“Saya terus membawa anak ke Klinik Kesihatan Balai dan sampai di sana doktor terus memberi oksigen dan branula untuk masuk air.
“Namun, tekanan nadi anak tiba-tiba terhenti dan anak didapati pengsan,” katanya di sini, hari ini.
Hasil bedah siasat mendapati anaknya meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi.
“Semua isi di dalam, jantung dan buah pinggang sudah hangus. Begitu juga air dan darah dalam tubuh sudah kering.
Mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, siasatan awal mendapati kanak-kanak lelaki itu meninggal dunia kerana strok haba dan dehidrasi.
“Saya mahu ibu bapa mengambil iktibar dari cerita ini dan jangan bagi anak-anak main panas terik berikutan suhu masa ini sangat tinggi dan beri anak minum air secukupnya,” pesannya.