KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak maut apabila kenderaan Perodua Aruz yang dinaiki terbabit dalam kemalangan bersama tiga lagi kenderaan di Jalan Kampung Panchur Kuin, Padang Kemunting, Batu Rakit, Kuala Terengganu, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 9 pagi.
Menurutnya, empat buah kenderaan terbabit dalam kemalangan iaitu Produa Aruz, Proton Wira, lori jenis Mitsubishi dan Honda Jazz.
Katanya, Perodua Aruz dan Honda Jazz dari arah Kampung Titian Baru, dekat sini, menghala ke Kota Bharu, manakala Proton Wira dari arah Dungun menghala ke Besut.
“Manakala lori dari arah Perak menghala ke arah Bandar Kuala Terengganu.
“Siasatan awal mendapati semasa Perodua Aruz dan Honda Jazz dari arah Kampung Titian Baru menghala ke arah Kota Bharu sedang bergerak terus tiba-tiba Proton Wira, hilang kawalan lalu terlanggar lori dari arah bertentangan,” katanya.
Menurutnya, kemudiannya lori terbabit terbabas dan terlanggar Perodua Arus dan Honda Jazz, akibat kemalangan itu seorang kanak-kanak berusia 11 tahun (identiti masih belum dikenal pasti) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, semua pemandu dan penumpang Perodua Aruz dan pemandu lori dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala mayat mangsa di bawa ke unit HSNHZ untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga,” katanya.
Menurutnya, Perodua Aruz mengalami kerosakan remuk di bahagian hadapan dan sisi kanan, Proton Wira pula mengalami kerosakan remuk di bahagian hadapan, lori turut mengalami kerosakan di di bahagian hadapan dan Honda Jazz rosakkan di bahagian hadapan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 Bagi Daerah Kuala Terengganu.
Azli berkata, tujuh daripada lapan yang berada di dalam Perodua Aruz menerima rawatan di HSNZ manakala dua orang yang berada di dalam lori mengalami kecederaan di kaki dan sakit pada dada.
“Lima pemandu dan penumpang Honda Jazz tidak mengalami kecederaan termasuk tiga individu di dalam Proton Wira,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.