TUMPAT: Seorang kanak-kanak lelaki ditemui lemas, pagi tadi selepas mandi di Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan Hilir di sini, semalam.
Mangsa bersama tiga rakannya ke sungai itu pagi semalam untuk mandi sebelum lemas kira-kira jam 12 tengah hari.
Bagaimanapun, berita mengenai kehilangannya hanya dihebahkan hari ini sebelum pihak berkuasa bersama penduduk kampung mula mencarinya.
Mayat Muhammad Aqil Rifqi Mohd Mazri, 11, ditemui pada jam 11 pagi kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilihat tenggelam oleh pemandu bot yang baru pulang membawa penumpang dari Pasar Terapung Pulau Suri selepas ternampak kepala mangsa timbul di permukaan sungai.
Rakannya, Muhammad Sazali Johari, 10, berkata, dia dan mangsa bersama seorang lagi rakan dikenali sebagai Tuah, 11, berbasikal ke sungai itu untuk mandi.
“Kami memang biasa mandi di sungai ini dan semalam, Aqil pergi ke kawasan jauh sikit dari tebing sebelum kami lihat dia tenggelam timbul sambil melambaikan tangan.
“Saya dan Tuah cuba mencari kayu untuk mencapainya namun tidak lama selepas itu, Aqil langsung tidak kelihatan dalam sungai menyebabkan kami menyangka dia bergurau.
“Saya dan Tuah naik ke tebing dan menunggu Aqil serta cuba mencarinya di sekitar tetapi tiada sebelum kami berdua pulang ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Muhammad Sazali berkata, dia takut untuk memberitahu keluarga masing-masing dan pada masa sama berharap Muhammad Aqil pulang ke rumah dengan selamat.
Berita kehilangan mangsa heboh sejak malam tadi sebelum maklumat yang mengatakan mangsa lemas di sungai diketahui pagi tadi.
Ibu mangsa, Siti Nor Mohamad, 40, berkata dia tidak mengetahui pergerakan anaknya itu semalam kerana berada di hospital menjaga suami yang koma akibat pendarahan dalam kepala.
Dia berkata, berita kehilangan anaknya hanya diketahui malam tadi apabila menerima panggilan telefon dari ibunya memberitahu perkara itu dan menyuruhnya pulang.
“Kami mencarinya di sekitar kampung dan bertanyakan kepada beberapa rakannya namun semua tidak tahu ke mana Aqil pergi sebelum pagi ini kami diberitahu Aqil lemas di sungai.
“Hanya Allah yang tahu perasaan saya sebaik melihat jenazah Aqil yang pucat ketika dibawa ke jeti dengan bot penduduk kampung,” katanya.
Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tumpat dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sukai, Kampung Paloh di sini, sebaik selesai proses bedah siasat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.