Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 11 tahun ditemui lemas di sungai

Foto hiasan

RANAU: Anak anggota polis ditemui lemas di Sungai Nopungan, Kampung Minihas, dekat sini, malam tadi.

Mangsa lelaki berusia 11 tahun ditemui penduduk kampung pada jam 8.05 malam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud, berkata mangsa dikatakan keluar rumah seorang diri, kira-kira 12.30 tengah hari.

“Mangsa disedari tidak pulang ke rumah oleh bapanya pada hari sama, jam 5.40 petang.

“Jarak rumah mangsa dengan tempat kejadian kira-kira 500 meter,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mursalin berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati, kedalaman sungai berkenaan kira-kira dua meter.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati arus sungai seperti biasa namun terdapat pusaran air dan belum dapat dipastikan sama ada mangsa mandi ketika itu.

“Mangsa ditemui orang kampung yang membantu dalam pencarian kemudian dibawa ke rumah keluarganya namun disahkan meninggal dunia oleh doktor dari Klinik Kesihatan Lohan, kira-kira jam 9.10 malam,” katanya.

Difahamkan, mangsa adalah anak kepada seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini