Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 11 tahun dihanyut ombak diselamatkan orang awam

Kanak-kanak yang diselamatkan oleh orang awam ketika mandi manda di Pantai Gorongon. FOTO: NSTP

PUTATAN: Seorang kanak-kanak diselamatkan orang awam selepas disedari hanyut dibawa ombak ketika mandi di Pantai Gorongon, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, enam kanak-kanak mandi di pantai terbabit sebelum seorang tiba-tiba dihanyutkan ombak.

Mangsa berusia 11 tahun itu bernasib baik dibantu segera orang awam yang menyedari kejadian itu anggota bomba dihubungi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.14 petang.

Katanya, mangsa bersama lima rakannya sedang mandi di Pantai Gorongon sebelum mangsa terbawa arus ombak ke kawasan dalam.

“Rakan mangsa cuba membantu menarik tangan tetapi gagal. Seterusnya rakan mangsa meminta bantuan orang awam di kawasan berhampiran.

“Empat lelaki dewasa yang menyedari kejadian itu bergegas membantu dengan berenang ke arah mangsa yang dihanyut ombak sejauh kira-kira 50 meter dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro semalam.

Menurutnya, mangsa sempat diselamatkan orang awam selepas berpaut pada tong dan seterusnya dibawa naik ke pesisir pantai.

“Pasukan bomba bertindak membuat pemeriksaan sebelum mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan pada jam 5.43 petang,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini