KOTA BHARU: Seorang kanak kanak berusia 11 tahun dari Kampung Pauh Belukar, di Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan terpaksa menanggung derita apabila mengalami ketumbuhan dalam perut yang kelihatan seakan-akan mengandung sembilan bulan.
Sejak disahkan mempunyai ketumbuhan cyst atau Teratoma pada Ogos 2021, kehidupan Nor Ariana Mohd Shahrul Afendi menjadi sukar tidak dapat meneruskan persekolahan kerana mempunyai risiko kesihatan yang tinggi.
Ibunya, Siti Nazirah Razali, 33, berkata, pada Ogos 2021, anaknya dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selepas mengadu sakit di bahagian perut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.
Katanya, ketika di HUSM, pakar perubatan mengesahkan anaknya menghidap Teratoma atau ketumbuhan dalam perut dan terpaksa melakukan rawatan kemoterapi.
Namun katanya selepas enam kali kitaran rawatan kemoterapi, ketumbuhan di dalam perut anaknya tidak menunjukkan sebarang perubahan, malah terus tidak boleh berjalan dan terlantar selama empat bulan.
Katanya anaknya sepatutnya melakukan pembedahan namum mempunyai risiko yang tinggi, ekoran daripada itu, doktor tidak dapat melakukan pembedahan terhadap anaknya kerana keadaan perutnya yang membusung dan akan membahayakan nyawa sekiranya pembedahan diteruskan.