comscore
Tumpuan :
Nasional

Kanak-kanak 10 tahun pandu kereta dengan rakan terbabas

SEREMBAN: Kereta dipandu seorang kanak-kanak berusia 10 tahun terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain dalam kejadian di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, di sini, malam Selasa.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 9.30 itu, kereta berkenaan turut dinaiki seorang lagi kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika sebuah kereta jenis Toyota Corolla yang dipandu seorang kanak- kanak lelaki berumur 10 tahun bersama kanak-kanak berusia sembilan tahun.

“Kereta dipercayai milik ibu bapa pemandu manakala kanak-kanak berusia sembilan tahun adalah anak kepada jiran.

“Mereka dari arah Apartment Arowana Impian menghala ke Taman Arowana Impian. Apabila tiba di lokasi kejadian, kereta dikatakan terbabas ketika melalui selekoh,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kereta berkenaan kemudiannya dikatakan terlanggar sebuah van jenis Toyota yang dipakir di bahu jalan kiri jalan.

“Akibat rempuhan, van kemudiannya menggelongsor ke hadapan dan terlanggar sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya,” katanya.

Tegas beliau, pihak polis menasihatkan semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa atau penjaga supaya memantau tindakan anak-anak bagi mengelak kejadian seperti ini.

“Tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalahan dan jika pelaku adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan diambil tindakan,” katanya.

Jelas beliau lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini