ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas dalam takungan air laluan longkang utama Perumahan Universiti Utara Malaysia (UUM) di Sintok, semalam.
Dalam kejadian itu, Muhammad Aiman Harith,10 tahun yang juga murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru, Sintok itu dikatakan keluar memancing bersama tiga rakannya di lokasi kejadian tidak jauh dari kawasan perumahan itu sebelum ditemukan lemas.
Menurut bapa mangsa, Mohd Hashim Nazri, 36, beliau selalu berpesan kepada anaknya supaya tidak bermain di kawasan terbabit, namun tidak menyangka mangsa pergi ke sana.
“Saya dah banyak kali pesan pada arwah sebelum ni jangan main di kawasan takungan air tu, tapi tak sangka pula dia pergi juga ke situ, semalam dan ditemui lemas,” katanya.
Difahamkan kejadian berlaku selepas waktu hujan menyebabkan takungan itu dipenuhi air.
“Ketika kejadian, saya berada di rumah bersama Muhammad Aiman Harith dan anak perempuan bongsu, Nurisya Amanda, 5, manakala isteri, Siti Noorazar Shamsudin, 30-an keluar bekerja syif petang di Jabatan Keselamatan UUM pada jam 2.30 petang.
“Tidak lama kemudian saya menerima panggilan daripada isteri yang memberitahu anak kami lemas dan terus bergegas ke lokasi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, hari ini.
Mohd Hashim yang juga pesawah berkata, sebaik tiba di situ, dia mendapati orang ramai sedang cuba melakukan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) terhadap mangsa.
“Tetapi ketika itu pun badan anak saya itu sudah kelihatan lembik dan tidak memberi tindak balas,” katanya.
Menurutnya lagi, beberapa jam sebelum kejadian, arwah yang juga anak sulung daripada dua beradik itu sempat mengikut ibunya mendaki bukit di kawasan Sintok dan pulang ke rumah sebelum tengah hari.
Katanya, dia berasa tidak sedap hati sebelum kejadian berlaku namun tidak menyangka perkara buruk berlaku sehingga menyebabkan anaknya pergi buat selama-lamanya.
“Namun saya sekeluarga redha dengan apa yang berlaku,” katanya.
Menurutnya lagi, jasad Muhammad Aiman Harith dikeluarkan dari takungan air itu oleh pengawal keselamatan UUM.
Jenazah anaknya akan dibawa pulang ke kampung mereka di Pida 4 Lama, Jalan Sanglang Mukim Pering, Kodiang selepas selesai urusan bedah siasat untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Beliau berkata, polis menerima maklumat kejadian lemas itu pada jam 4.55 petang yang memaklumkan seorang kanak-kanak lelaki lemas dalam takungan laluan longkang di lokasi kejadian.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan yang bertugas di klinik UUM.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.