BINTULU: Suspek utama yang disyaki terlibat dalam kes menyembur 51 unit kubur di Perkuburan Islam Kemunting di sini berjaya ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Batholomew Umpit dalam kenyataannya hari ini mengesahkan hasil maklumat serta risikan, pasukan polis bertindak menahan suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Suspek akan dikenakan tahanan reman selama tiga hari mulai semalam hingga Jumaat ini nanti bagi membantu siasatan,” jelasnya.
Menurut beliau, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 297 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun dan denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pada masa sama beliau turut berharap agar mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Hafizuddin Zaidi di talian 014-6066404 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304.
Pada pagi Isnin lalu iaitu sekitar jam 7.15 pagi, satu kes pencerobohan dan khianat dengan menyembur cat merah dah biru telah dilaporkan berlaku di Tanah Perkuburan Islam Kemunting di Jalan Sebiew.
Hasil siasatan pihak polis di tempat kejadian mendapati terdapat 51 unit kubur telah disembur dengan cat dengan 41 daripadanya dicat dengan tulisan warna biru.