comscore
Tumpuan :
Nasional

Kampus baharu MRSM Ranau terima kumpulan pertama 200 pelajar Sabah

200 pelajar mendaftar masuk di kampus baharu MRSM Ranau semalam. – FOTO: Ihsan PETRONAS

KOTA KINABALU: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ranau mengalu-alukan kehadiran kumpulan pertama 200 pelajar semalam sejak kampus itu siap dibina sepenuhnya pada September tahun lepas, kata Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab.

Beliau berkata Kampus MRSM Ranau yang dibangunkan oleh PETRONAS dengan kos RM132 juta adalah hasil kerjasama kerajaan negeri Sabah dan MARA dalam memperkasakan ilmu dengan meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti dalam kalangan pelajar Sabah.

“Kami teruja untuk menyaksikan penjelmaan visi apabila kumpulan pertama pelajar memulakan perjalanan pendidikan mereka di MRSM Ranau.

“Ia sememangnya satu peristiwa bersejarah kerana ini menandakan lembaran baharu dalam komitmen kami untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri Sabah dalam membangunkan potensi modal insan golongan muda dan bakat orang Sabah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu Ketua MRSM Ranau Ismail Badri berkata 200 pelajar kumpulan pertama yang datang dari seluruh negeri terdiri daripada pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4.

“Kampus ini berkeluasan lebih 26,000 meter persegi dan boleh menampung sehingga 450 pelajar,” katanya.

Ismail berkata MRSM Ranau dilengkapi dengan pelbagai kemudahan, termasuk bangunan pentadbiran, blok akademik, pusat sumber, asrama pelajar, pusat pelajar, dewan makan dan serbaguna, astaka, surau dan kuarters petugas dan tenaga pengajar.

Katanya, kampus ini berbeza daripada MRSM lain kerana persekitarannya yang kondusif dan terletak berhampiran kaki Gunung Kinabalu, kira-kira 80 km dari sini.

Pada masa ini, MRSM Ranau mempunyai jumlah petugas sebanyak 46 orang termasuk 27 guru, 16 petugas sokongan dan tiga anggota pihak pengurusan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini