
KUALA KRAI: ‘Kampung Lemang’ di Kampung Lepan Jenut, Manek Urai, meriah, jadi tumpuan perantau pulang ke Kelantan.
Sepanjang jalan berkenaan dipenuhi gerai tepi jalan yang menjual lemang hidangan wajib setiap kali Aidilfitri.
Berbaki kurang seminggu, peniaga lemang di ‘Kampung Lemang’ kini sibuk membuat persiapan bagi memenuhi permintaan pelanggan yang melalui Lebuhraya Kuala Krai-Gua Musang.

Bagi peniaga lemang, Sariwati Yaacob, 46, pada hari biasa lemang yang terjual di gerainya adalah sekitar 22 batang sehari, namun kebiasaannya tiga hari menjelang Syawal dia sudah `tidak menang tangan’ untuk membakar lemang kerana mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.
“Pada hari biasa, sebanyak lima hingga 10 kilogram (kg) beras pulut digunakan untuk memproses lemang, namun beberapa hari sebelum Aidilfitri, saya perlu menggunakan sehingga 60kg beras pulut dan 50kg santan kerana permintaan meningkat daripada perantau dari seluruh destinasi.
“Lemang di Kampung Lepan Jenut amat dikenali ramai bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Kelantan, malah ada juga dari luar.
“Sempena Aidilfitri ini, saya menyediakan antara 3,000 hingga 4,000 batang lemang dalam tempoh dua hari bagi memenuhi permintaan pelanggan kerana pada ketika itu perantau sudah mula balik ke kampung untuk menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Kampung Lepan Jenut.
Ibu kepada enam anak berusia antara 9 hingga 24 tahun ini berkata, sejak minggu lalu dia sudah mula membuat persiapan dengan membeli buluh lemang pada harga 50 sen sebatang.
Katanya, dia sudah berniaga lemang sejak 23 tahun lalu dengan harga RM5 sebatang atau RM20 bagi tiga batang lemang tertakluk kepada saiz.
“Pada masa sama ada juga pelanggan yang membuat tempahan melalui telefon dan ia akan dihantar terus ke rumah mereka pada pagi hari raya pertama,” katanya yang turut dibantu oleh dua anak.