KUALA TERENGGANU: Jenazah Muhammad Ngah, 67, yang ditemukan meninggal dunia di kawasan tapak pembinaan ECRL di Kampung Banggol Katong, di sini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Serada, hari ini.
Bagi waris Allahyarham, mereka reda dengan kehilangan orang tersayang sehari sebelum lebaran.
“Kami langsung tidak fikir persiapan hari raya, yang kami fikir bagaimana keadaan abang yang hilang sejak keluar rumah, Sabtu lalu,” kata Mohd Azis Ngah, adik kepada Muhammad Ngah, 67, yang ditemukan meninggal dunia di kawasan tapak pembinaan ECRL di Kampung Banggol Katong, di sini, jam 10.25 pagi tadi.
Bagaimanapun, pencarian warga emas itu akhirnya bernoktah apabila ditemukan dalam keadaan sempurna dan terbaring berhampiran motosikal roda tiga miliknya di kawasan tapak projek di kampung berkenaan kira-kira tiga kilometer dari rumahnya di Kampung Baru Serada, di sini.
Menurut Mohd Azis, sejurus warga emas itu tidak pulang ke rumah selepas keluar dengan motosikal roda tiga kira-kira jam 10 pagi Sabtu lalu, dia bersama keluarga dan penduduk kampung tidak berhenti mencari tanpa menghiraukan penat lelah dan keletihan berpuasa.
“Kami tidak fikir soal raya (Aidilfitri), malah sambutan hari raya esok, kami akan sambut dengan majlis tahlil dan kenduri arwah.
“Tidak menyangka lebaran ini kami diberikan dugaan sebesar ini tetapi sebagai hamba-Nya, kami semua reda dengan apa yang terjadi kerana semua yang berlaku adalah ketentuan Allah,” katanya ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru Serada, hari ini.
Jenazah Mohamad selamat dikebumikan tanah perkuburan berkenaan 6 petang selepas disembahyangkan di masjid kampung itu selepas solat Asar.
Sementara itu, Muhammad Nor Hisyam, anak ketiga daripada lima beradik berkata, sepanjang Ramadan arwah bapanya tidak berniaga menyebabkan dia rasa bosan duduk di rumah.
Katanya, jika tidak, rutin setiap hari, arwah bapa akan ke pasar borong Gong Pauh, di sini bagi membeli barangan jualan seperti barang basah dan makanan pagi yang dijual secara mobile.
“Hari Sabtu saya sedar ayah panaskan enjin motosikal tetapi tidak menyangka ayah akan keluar kerana sejak akhir-akhir ini keadaan kesihatannya kurang baik.
“Ayah ada mengalami masalah jantung dan kencing manis tetapi dia masih berupaya menunggang motosikal.
“Jumaat minggu lalu pun ayah keluar ke kedai gunting rambut dengan motosikalnya. Selepas seharian tidak pulang ke rumah, kami berasa sesuatu berlaku kepada ayah dan tidak jemu mencari,” katanya.
Mohd Nor Hisyam mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih kepada ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk kampung dan sesiapa sahaja yang tidak jemu-jemu berusaha mencari arwah bapanya tanpa mengira siang malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.