BATU PAHAT: “Tolong pulangkan Bella (Mila Sharmila Samsusah), Kami sekeluarga sangat merindui suara dan wajahnya”.
Itu rayuan Norhisham, 36, yang juga kakak kepada Mila Sharmila selepas wanita itu gagal dikesan sehingga hari ini.
Kehilangan Mila Sharmila, 32, atau nama panggilannya Bella selepas Norhisham keluar ke dobi jam 11.50 malam pada 20 Disember lalu.
Kali terakhir Norhisham yang juga ibu tunggal kepada seorang anak lelaki berusia empat tahun berjumpa Bella, beberapa minit sebelum dia keluar bersama teman lelakinya.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada rumah jiran menunjukkan wanita itu menaiki Toyota Vios berwarna putih.
Beliau berkata, seluruh ahli keluarganya bimbang mengenai keselamatan Bella yang sehingga kini belum ada sebarang berita walaupun sudah dua kali membuat laporan polis.
“Setiap malam, saya pejam mata dan membayangkan wajahnya dan akhirnya saya menangis kerana terlalu rindu, saya memohon dan merayu serendah-rendah diri tolonglah kembalikan Bella ke pangkuan keluarga kami.
“Kami dah tak kuat untuk berhadapan dengan semua ini, kadang-kala terfikir apa yang sedang dia hadapi ketika ini, dugaan keluarga kami sangat kuat,” katanya ketika ditemui.
Norhisham berkata, buat masa ini mereka masih ternanti-nanti perkembangan Bella walaupun pelbagai usaha sudah dilakukan, namun menemui jalan buntu.
“Siang malam kami berusaha menjejakinya dan kami tidak tahu sekiranya berlaku perkara buruk ke atasnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihak polis giat menjalankan siasatan namun wanita berkenaan belum ditemui sehingga kini.
Katanya, setakat ini polis sudah memanggil lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes itu.
“Polis juga sudah dua kali merekodkan keterangan teman lelaki yang didakwa individu dilihat bersama wanita itu pada hari kehilangannya.
“Buat masa sekarang, polis menanti perkembangan mengenainya dan kes masih diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai lokasi individu itu untuk menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Maimunah Sujak di talian 012-7916895 atau talian hotline IPD Batu Pahat 07-4343999,” katanya.