Oleh : Siti Khadijah Jaafar
PETALING JAYA : Pemergian bekas Pengerusi dan Pengasas bersama AirAsia, Datuk Pahamin Rajab akibat serangan jantung di Lapangan Terbang Heathrow, London pukul 11.30 malam tadi waktu tempatan, masih mengejutkan ahli keluarganya.
Pelakon Azhar Sulaiman yang juga menantu Allahyarham berkata, keluarganya memerlukan masa untuk bertenang ketika berdepan detik sukar dan menyedihkan itu.
Artikel berkaitan: “Adakah datuk bangga dengan apa yang saya capai?” – Leona
Menerusi kiriman WhatsApp kepada Buletin TV3 , Azhar memaklumkan lokasi pengebumian jenazah bapa mentuanya itu juga belum dimuktamadkan.
Perkara itu akan dibincangkan bersama ibu mentua dan anak lelakinya yang sudah berada di London ketika ini.
“Once I dah jumpa my mother in law dan adik-beradik lain dan semua berkumpul di London sehari dua ni.. Saya akan make an official announcement. As for now biar kami sekeluarga berbincang dulu. Thank you” katanya.
Azhar dan ahli keluarga lain dijangka berangkat ke sana esok.
Artikel berkaitan: Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia akibat serangan jantung
Terdahulu dalam perkongsian video di laman Instagramnya, Azhar berkata, Datuk Pahamin meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam penerbangan ke London.
Kehadiran Allahyaryam ke sana adalah bagi menghadiri majlis graduasi anak lelaki Azhar.
Datuk Pahamin, 77 tahun pernah menyandang jawatan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 1998 sehingga 2001.
Allahyarham juga pernah menjadi Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ dari 1974 hingga 1998.