TUMPAT: Jenazah mangsa lemas akibat terjatuh bot di Sungai Kelantan, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kutan Sungai di sini, hari ini.
Allahyarham yang berusia 30 tahun dikebumikan pada 3.30 petang bersebelahan pusara isterinya, Nor Awadah Sulong, 30, yang turut ditemukan lemas dan mayatnya dijumpai pada hari kejadian iaitu petang kelmarin.
Bapa mangsa, Wan Taib Wan Sulaiman, 69, berkata, dia reda dengan kehilangan anak dan menantu serta cucunya, Amrullah Fitri Afendi, 10, serentak dalam kejadian petang Jumaat lalu.
“Sudah kering air mata saya meratap pemergian tiga ahli keluarga sekali gus tapi itu semua kerja Allah, kita sebagai hambaNya perlu reda dengan takdir.
“Najmi dan Awadah meninggalkan dua anak perempuan yang masih kecil, walaupun mereka membesar dengan saya tapi hak penjagaan akan turut diberikan kepada keluarga arwah menantu,” katanya yang ditemui di sini, hari ini.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan dua cahaya mata perempuan, Wan Nur Athiya Naura, 4 dan Wan Nur Ameena, 14 bulan.
Lebih 100 penduduk kampung hadir mengiringi jenazah Wan Muhamad Najmi yang jasadnya ditemukan jam 9.05 pagi tadi selang 50 minit selepas anak saudaranya, Amrullah Fitri dijumpai.
Amrullah Fitri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Patek, Kadok, Kota Bharu waktu yang hampir sama dengan Najmi selepas selesai proses bedah siasat mereka berdua di Hospital Tumpat.
Sementara itu, ibu Nor Awadah, Gayah Husin, 54, berkata, mereka sekeluarga menghormati permintaan anaknya yang sebelum ini meminta agar tidak memisahkan mereka berdua walau maut yang datang.
Selanjutnya: Isteri lemas, suami dan anak saudara hilang selepas terjatuh dari bot
Dia juga baharu menyedari sedikit perubahan yang ditunjukkan anak kedua daripada enam beradik itu yang turut berhasrat untuk segera mewasiatkan harta suami isteri terbabit atas nama dua anak perempuan mereka.
“Awadah pernah bersuara tiga minggu lalu meminta agar jangan pisahkan dia dengan suaminya walau apa berlaku dan apabila berlaku musibah sebegini, kami baru sedar ia seolah satu petanda.
“Walaupun hasrat di hati untuk mengebumikan Awadah di kampung kami di Selising, Pasir Puteh, tapi demi menghormati permintaan terakhirnya, kami turuti.
“Dia juga berbual dengan arwah menantu untuk segera mewasiatkan harta mereka atas nama dua anak perempuan serta kerap berbicara mengenai hal keagamaan, rupanya itu petanda mereka akan pergi buat selama-lamanya,” katanya.