comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kami hidup ketakutan selepas penduduk terserempak harimau di sini’

Gambar harimau berkeliaran di ladang sawit yang sempat dirakam penduduk kampung.

GUA MUSANG: Kira-kira 50 penduduk Kampung Gua Air dan pekerja Ladang Sungai Terah di sini, berada dalam ketakutan dengan kemunculan seekor harimau belang dewasa di ladang sawit berhampiran kampung itu pagi tadi.

Difahamkan, tiga hari lalu seorang pekerja ladang sawit Sungai Terah menemui bangkai lembu dan seekor khinzir dewasa dipercayai dimakan haiwan liar terbabit.

Pekerja ladang sawit yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, 42, berkata dia sempat merakam gambar haiwan itu ketika berada di atas lori dalam perjalanan ke ladang kelapa sawit.

Katanya, dia terserempak dengan harimau itu di ladang kelapa sawit yang jaraknya kira-kira 200 meter dari Kampung Gua Air.

“Ketika dalam perjalanan menuju ke tempat kerja kira-kira jam 8 pagi, saya terserempak dengan harimau berkenaan dan sempat merakam gambarnya.

“Kini semua pekerja ladang seramai 10 orang berada dalam ketakutan dan bimbang terserempak dengan harimau itu lagi,” katanya ketika ditemui di Gua Air, di sini, hari ini.

Katanya, kerana kejadian itu, semua pekerja ladang dinasihatkan bekerja secara berkumpulan kerana bimbang diserang haiwan liar itu.

“Selain itu, mereka juga diminta tidak keluar pada waktu malam untuk ke Kampung Gua Air yang jaraknya 700 meter dari rumah kongsi pekerja,” katanya.

Penduduk Kampung Gua Air, Rusdi Mamat, 58, pula berkata, kejadian yang berlaku itu mengejutkan penduduk kampung dan mereka bimbang keluar menghantar anak ke sekolah pada waktu pagi.

“Kejadian ini mengejutkan kami, tambahan pula pekerja ladang sempat merakam gambar haiwan terbabit.

“Malah, tiga hari lalu mereka (pekerja ladang) turut menemui bangkai lembu dan khinzir di kawasan ladang sawit berhampiran kampung ini,” katanya.

Dia berharap pihak berwajib dapat mengambil tindakan segera terhadap kejadian itu kerana bimbang dengan keselamatan penduduk.

Loading...
Terkini