comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kami hanya berharap bahagian dapur sebagai tempat berteduh – Mangsa banjir

FOTO: NSTP

DUNGUN: Lapan sekeluarga hiba apabila sebahagian besar rumah mereka di Kampung Shukor, Hulu Dungun runtuh akibat banjir besar yang berlaku Khamis lalu.

Jalina Abdullah, 42, bersama suami, lima anak serta ibunya antara penduduk di kampung berkenaan yang kediamannya terjejas teruk.

Kata wanita yang bekerja sebagai kerani itu hanya bahagian dapur yang diperbuat daripada konkrit sahaja terselamat.

Bagi Jalina, rumahnya ibarat tongkang pecah sehingga dia tidak tahu bagaimana mahu membersihkannya.

Katanya, dia sendiri mendengar bunyi runtuhan dari bahagian bilik dan ruang tamu rumah.

“Memang terkejut bila ruang tamu runtuh, sekarang ini, kami hanya berharap bahagian dapur ini sebagai tempat berteduh.

“Tak tahu nak bersih macam mana, rumah saya runtuh, orang lain sibuk membersihkan rumah yang dipenuhi lumpur tapi saya cuma ambil barang yang ada di bahagian runtuhan itu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia masih trauma dengan banjir yang melanda kampungnya kali ini walaupun saban tahun menjadi mangsa banjir dengan kejadian terbaharu pada Disember lalu.

“Biasa jadi mangsa banjir tetapi kali ini, saya trauma dan adakalanya menangis apabila mengenangkan peristiwa ini.

FOTO: NSTP

“Saya juga buntu memikirkan nasib kami sekeluarga termasuk ibu yang rumahnya turut terjejas apatah lagi mengenangkan sesi persekolahan yang baru dan Ramadan juga semakin hampir,” katanya.

Dalam pada itu, Jalina turut berterima kasih kepada semua pihak termasuk petugas keselamatan dan sukarelawan yang membantu dia dan keluarganya.

“Memang sedih dan tak boleh nak gambarkan macam mana tetapi dengan adanya bantuan daripada mereka ini, sekurang-kurangnya dapat memudahkan urusan kami, ” katanya.

Banjir besar yang berlaku pada Khamis lalu menyebabkan tiga buah rumah hanyut dan satu daripadanya hanya tinggal tangga dan tiang rumah di Kampung Shukor, Hulu Dungun.

Kejadian itu disifatkan bencana terburuk pernah dilalui mereka dalam tempoh 60 tahun di kampung berkenaan.

Loading...
Terkini