Tumpuan :
Nasional

‘Kami cabar Sanusi dedahkan dalang sabotaj pelaburan swasta di Kedah’ – UMNO Kedah

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin hadir. -Foto fail NSTP

ALOR SETAR: UMNO Kedah mencabar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan siapa pihak yang mempunyai rancangan besar (grand design) menggagalkan pelaburan swasta di Kedah seperti didakwa Menteri Besar itu, semalam.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, pihaknya bimbang dakwaan itu hanya sebuah lagi cubaan memanipulasi persepsi dan sentimen dimainkan Muhammad Sanusi apabila mengeluarkan kenyataan terbabit.

“UMNO Kedah dengan ini mencabar Menteri Besar mendedahkan siapakah dalang disebalik ‘grand plan’ yang dimaksudkan itu.

“UMNO Kedah melihat ini adalah satu tuduhan tanpa asas semata-mata mahu mencipta persepsi dan sentimen murahan bagi mengaburi kegagalan Kerajaan Negeri mengekalkan pengumuman pelaburan yang sedia gagal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Shaiful Hazizy berkata, Muhammad Sanusi tidak lagi boleh mengurus negeri ini melalui cara memainkan sentimen dan mencipta persepsi saja.

“UMNO Kedah berpandangan, kerajaan ini tidak boleh semata-mata ditadbir melalui kaedah perang persepsi dan sentimen semata-mata, tetapi seharusnya realistik dan praktikal demi kelangsungan rakyat.

UMNO Kedah yakin rakyat semakin menyedari strategi politik berselindung dan mengaburi yang sering diamalkan Menteri Besar, cuma kita bimbang politik sedemikian akan memberi kesan kepada rakyat dan negeri sendiri,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mendakwa syarikat yang berhasrat melabur di Kedah akan diberi tekanan dan sekatan agar mereka menarik diri daripada projek yang diumumkan.

Sebagai contoh katanya, keputusan konglomerat Bin Zayed International Group of Companies (BZI) menarik diri daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion, tanpa mendedahkan punca penarikan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini