Tumpuan :
Nasional

“Kami banyak terima bayi masih berdarah , diletak dalam beg plastik”

Oleh Izzatie Rizan

PETALING JAYA: “Terpaksa ketepi rasa pilu, sedih dan trauma demi tanggungjawab”

Itulah pengorbanan yang dilakukan penjaga di Yayasan OrphanCare demi melindungi nasib bayi terbuang yang dihantar ke peti pelindungan bayi atau ‘Baby Hatch’.

Berkongsi pengalaman menghibakan, pusat yang beroperasi 24 jam sehari itu, acap kali menerima bayi berdarah bertali pusat serta diletakkan dalam beg plastik.

Paling menyayat hati bayi sudah kebiruan gara-gara dibuang dalam mangkuk tandas oleh si ibu.

Menurut Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi pihaknya sentiasa bersedia saat mendengar dentingan loceng penggera.

Meskipun menginjak ke tengah malam itu realiti biasa yang dijalani penjaga demi menyelamatkan nyawa si kecil yang tidak berdosa.

Menjengah ke premis ini, mengikuti peranan wira tak didendang, dimaklumkan ada bayi yang terpaksa digegaskan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Tak kurang juga ada yang menyiapkan bayi mereka lengkap dengan pakaian comel beserta beg susu.

“Tak dinafikan memang ada dalam kalangan penjaga kami yang trauma…dapat bayi yang masih bertali pusat berbungkus. Macam-macam situasi ada masa tu, bayi yang dihantar dah berbuih-buih kebiruan…dalam keadaan ini, nak pegang pun takut…kita takut apa-apa berlaku pada bayi. Syukur tindakan segera kami berjaya menyelamatkan nyawa si kecil ini”. katanya kepada Buletin TV3.

Beliau berkata, kesalahan tidak boleh diletakkan semata-mata kepada wanita atau remaja yang hamil kerana masing-masing menanggung kisah pahit termasuk menjadi mangsa rogol.

Riza berkata meskipun Baby Hatch sudah dimulakan sejak tahun 2010, masih ramai yang tidak tahu mengenainya dan ada juga yang tidak berani meletakkan bayi di tempat berkenaan.

“Baby Hatch bukan tampat buang bayi, baby hatch tempat selamatkan bayi daripada dibuang. Sesiapa yang berdepan dalam keadaan ini boleh datang letakkan bayi di peti perlindungan, jangan risau boleh cium baby… tiada ada CCTV. Saya nak tekankan tempat ini selamat dan apa yang anda lakukan itu bukan kesalahan jenayah…ia tidak akan buat anda ditangkap polis,” tegasnya.

Riza berkata selepas membawa bayi ke hospital, pihak Yayasan OrphanCare akan menjalankan urusan seterusnya iaitu menghubungi keluarga angkat yang sedang dalam senarai menunggu.

Jelasnya setakat ini seramai 520 bayi sudah diselamatkan di mana pada Januari hingga awal Jun 2023 pihaknya menerima 11 bayi termasuk cawangan OrphanCare Sungai Petani dan Johor Baharu.

Loading...
Terkini