SIK: Seekor kambing jantan yang terjatuh ke dalam telaga sedalam lima meter di Jalan Telaga Batu, di sini hari ini berjaya diselamatkan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1 petang.
Justeru katanya sepasukan anggota dari BBP Sik yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Sam Khan a/l Prak Prem Keu tiba di lokasi bersama lapan anggota.
“Di lokasi, didapati seekor kambing jantan yang terlepas dari kandang terjatuh ke dalam lubang telaga di kawasan itu.
“Pemilik kambing itu menghubungi Bomba selepas terdengar bunyi haiwan itu mengembik dan ia dipercayai terperangkap hampir empat jam sebelum diselamatkan.
“Kambing itu dipercayai mencari makanan dan hendak minum air namun terjatuh di situ,” katanya.
Zulkhairi berkata, anggotanya menggunakan tali untuk menarik kambing itu naik ke atas malah anggotanya menghadapi cabaran disebabkan ruang telaga yang sempit.
Beliau berkata, operasi dilakukan dengan berhati-hati bagi mengelak tali itu terjerut leher kambing berkenaan.
“Operasi tamat pada jam 2 petang selepas kambing jantan itu diserahkan semula kepada pemiliknya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.