KUALA LUMPUR: Pengurus Besar On Air Presentation (OAP) Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) Media Prima Berhad (Media Prima), Kamaruddin Mape antara tujuh dilantik sebagai Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui kenyataan memaklumkan, pelantikan bagi tempoh dua tahun itu berkuat kuasa 1 Disember lalu sehingga 30 November 2026.
Enam ahli PPPR lain adalah Datin Yasmin Ahmad Merican selaku Pengerusi; Naib Canselor Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Prof Emerita Datuk Dr Asma Ismail dan Penasihat Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Haidar Dziyauddin.
Turut dilantik Datuk Lee Heng Cheong, Prof Dr Sarjit Singh Darshan Singh dan pemilik rangkaian Syarikat aL-ikhsaN, Ali Hassan Mohd Hassan.
Menurut SPRM, tujuh individu berkenaan dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan tiga daripada mereka adalah lantikan semula, manakala empat lagi membabitkan lantikan baharu.
“Semua individu dilantik ini terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang dan ia sebagai satu penghormatan serta pengiktirafan terhadap kebolehan, kepakaran selain integriti yang mereka miliki.
“Kepakaran mereka ini diyakini dapat memberi nilai tambah kepada SPRM dalam membanteras rasuah bagi memastikan keberkesanan operasi dan salah guna kuasa di negara ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.