comscore
Tumpuan :
Nasional

Kalkulator Fidyah Puasa, mudahkan pengiraan bayaran ganti puasa

FOTO : MAIS /FACEBOOK

SHAH ALAM: Masyarakat Islam di Selangor kini boleh membuat pengiraan bayaran ganti puasa dengan mudah susulan pengenalan Kalkulator Fidyah Puasa oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata kadar kutipan fidyah juga dijangka meningkat dengan pelaksanaan platform baharu itu.

Katanya, kalkulator fidyah puasa adalah platform digital yang dibangunkan oleh MAIS bagi memudahkan masyarakat Islam untuk membuat pengiraan kadar fidyah sebelum membuat bayaran.

“Kalkulator ini mempunyai tiga kadar bayaran iaitu RM2, RM4 dan RM6 serta mempunyai kaedah bayaran berganda dan tidak berganda.

“Masyarakat Islam yang ingin menggunakan platform terbabit boleh melayari laman web MAIS di www.mais.gov.my.

“Pada tahun ini, MAIS menyasarkan kutipan fidyah sebanyak RM20 juta dan dengan pengenalan platform baharu ini, kita harapkan kutipan meningkat dan sasaran dapat dicapai,” katanya pada Majlis Hi-Tea bersama rakan media dan Pelancaran Kalkulator Fidyah Puasa di sini hari ini.

Fidyah adalah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, baik berbentuk harta atau tindakan lain yang dilakukan kerana kekurangan dalam salah satu amal ibadah.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kalkutor berkenaan diharapkan dapat memberi kemudahan baharu kepada masyarakat Islam dalam membuat pengiraan dengan pantas dan tepat bagi bayaran fidyah yang dikenakan atas sebab-sebab faktor yang tertentu.

Dalam pada itu, MAIS akan melaksanakan Kempen Bulan Kesedaran Fidyah Negeri Selangor yang diadakan mulai esok hingga 22 Mac depan.

“Kempen ini bertujuan memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat Islam untuk melunaskan hutang fidyah di samping menggalakkan masyarakat Islam menggantikan puasa lebih awal sebelum bertemunya bulan Ramadhan yang akan datang,” katanya.

Loading...
Terkini