Tumpuan :
Nasional

{KEMAS KINI} Kalimah Allah: Agong perkenan Kabinet persembah cadangan kepada Majlis Raja-Raja

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA:  Jemaah Menteri hari ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah ‘Allah’ kepada Majlis Raja-Raja.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu juga bagi memperkukuh perpaduan dan keharmonian di antara kaum dan agama di negara ini, selain menyelesaikan isu berkenaan secara menyeluruh dan bersepadu.

“Jemaah Menteri menegaskan bahawa kerajaan menghormati, memperakui, dan menerima pakai ketetapan enakmen negeri-negeri dan titah Yang di-Pertuan Agong pada 7 Februari 2023 yang menzahirkan agar dikekalkan dasar sedia ada yang sedang berkuat kuasa berhubung isu penggunaan kalimah Allah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Istana Negara

Beliau berkata, mesyuarat Kabinet hari ini membincangkan keputusan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan terhadap kes Jill Ireland berhubung bahan penerbitan yang mengandungi kalimah ‘Allah’.

Menurutnya, Jemaah Menteri mengambil maklum  keputusan yang dibuat hanya berkisar soal pentadbiran dan tidak merubah ketetapan Mahkamah Persekutuan pada 2014.

Media sebelum ini melaporkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ serta tiga perkataan Arab yang lain iaitu ‘Baitullah’, ‘Kaabah’ dan ‘solat’ dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan bahan agama berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, keputusan KDN menarik balik rayuan itu  melibatkan isu perundangan sivil dan pentadbiran iaitu berkaitan rampasan bahan penerbitan dan bukannya membabitkan isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

Notis tidak meneruskan kes itu difailkan di Mahkamah Rayuan pada 18 April lalu.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan akan sentiasa mempertahan Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 3 berhubung agama Islam adalah agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

 

Loading...
Terkini