KLANG: Khutbah Jumaat di masjid seluruh Selangor hari ini menegaskan bahawa kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh umat Islam.
Menurut khutbah itu yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam adalah bercanggah dengan konsep keesaan Allah dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.
Tegas khutbah itu, kalimah Allah bukan terjemahan Melayu kepada perkataan ‘God’, sebaliknya perkataan ‘Allah’ merujuk kepada nama tuhan dalam kalangan orang Islam dan satu-satunya tuhan dalam Islam yang digunakan seluruh penganutnya tanpa mengira bahasa.
Jelasnya, alasan kononnya kalimah Allah boleh digunakan untuk agama Kristian kerana ia digunakan dalam kitab Bible edisi bahasa Arab dan Indonesia juga tidak terpakai kerana ia adalah kesalahan penterjemahan.
“Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan ‘God’ dengan kalimah Allah?
Sehubungan itu, penggunaan kalimah Allah oleh agama lain selain Islam adalah suatu perkara yang menyanggah konsep keesaan Allah SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam,” jelas khutbah itu.
Khutbah Jumaat itu turut memaklumkan bahawa ayat 73 surah al-Maidah dalam al-Quran menjelaskan seseorang itu menjadi kafir apabila menyatakan tuhan selain Allah sebagai Allah.
“Ini bermakna kalimah Allah itu tidak boleh digunakan kepada tuhan selain Allah yang Maha Esa, yang membawa kepada kekufuran,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir menunaikan solat Jumaat di Masjid An-Naim Jalan Kebun, di sini, yang turut menyampaikan khutbah sama dibacakan oleh Imam 1 masjid itu, Mohd Hafiz Hussain.