Tumpuan :
Nasional

‘Kalau tidak bawa nanti, majikan marah’- alasan pemandu treler sumbat gelung besi 17 tan

SHAH ALAM: Risau dimarahi majikan dan tiada lori lain, antara alasan diberi pemandu mengenai tindakan memuatkan gegelung besi dalam treler hingga melebihi had muatan sebanyak 17 tan.

Perbuatan itu dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Op Patuh Khas Fasa 2 di Plaza Tol Kota Kemuning Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), lewat malam tadi.

Pemandu lori treler berusia 46 tahun itu turut memberi alasan kebanyakan lori rosak dan terpaksa melakukannya selepas disuruh oleh majikannya.

“Kalau tidak bawa nanti majikan marah dan gelung besi itu akan ‘tersadai’ di pelabuhan berkenaan.

“Jadi, saya terpaksa bawa dan kompaun akan dibayar oleh majikan nanti,” katanya.

Sepanjang operasi itu juga, didapati beberapa kenderaan perdagangan sanggup menggunakan tayar yang pecah sehingga boleh membahayakan pengguna lain.

Dua lori turut disita termasuk  sebuah daripadanya dibawa oleh pemandu etnik Rohingya dengan muatan barangan elektronik.

Sementara itu, Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ, Datuk Lokman Jamaan berkata, operasi dijalankan bagi memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan pemilik dan pemandu kenderaan perdagangan.

“Bayangkan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan kenderaan perdagangan ini, antaranya brek gagal berfungsi, pemandu (treler atau lori) tidak akan parah sebaliknya yang akan parah dan menjadi mangsa nahas adalah pemandu kenderaan ringan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN |

Loading...
Terkini