comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Kalau hendak kerja, cari rezeki di negara ini, perlu ikut saluran yang sah’ – Pekerja asing

Pekerja asing yang sudah lama tinggal di Malaysia dan memiliki permit kerja sah, Somu (kiri ) dan rakannya, Arafat (kanan) sedang membeli air mineral di perkarangan kedai sebagai bekalan minuman seharian, di Taman Sri Bidor. – FOTO: NSTP

TAPAH: Kejadian 131 tahanan Depoh Imigresen Sementara Bidor meloloskan diri Khamis lalu, turut memberi kesan kepada kehidupan warga negara asing yang sudah tinggal lama dan bekerja dengan permit sah.

Pekerja asing dari Bangladesh yang dikenali, Kader, 32, berkata, dia mengetahui kejadian tahanan melarikan diri dari depot berkenaan daripada media sosial.

Katanya, tindakan tahanan depoh yang juga Pendatang Tanpa Izin (PATI) berbuat demikian adalah salah dan menyalahi undang-undang di negara ini.

“Kejadian ini ada beri kesan kepada kami yang mencari rezeki di sini… kami mahu meneruskan kehidupan seharian kerana saya mempunyai permit yang sah untuk bekerja di negara ini.

“Kalau hendak kerja dan mencari rezeki di negara ini, perlulah mengikut saluran yang sah barulah kita dapat kerja dengan aman tanpa rasa takut,” katanya ketika ditemui di perhentian bas yang terletak kira-kira tiga kilometer dari depot terbabit.

Setiap hujung minggu menjadi rutin kehidupannya yang juga bekerja sebagai pekerja kilang pergi ke pekan Tapah untuk membeli bekalan makanan.

Dia yang sudah berkahwin dan sudah bekerja selama 12 tahun di negara ini berkata, banyak peluang pekerjaan di negara ini yang boleh menjadi sumber rezeki malah boleh dikongsi dengan keluarga di negara asal.

Katanya, semua negara mempunyai undang-undang tersendiri dan menjadi tanggungjawab kami sebagai pekerja mematuhi dan menghormati undang-undang di negara ini.

Seorang pekerja asing juga dari Bangladesh dikenali Somu, 30, berkata, dia sudah lapan tahun menetap dan bekerja di negara ini.

Katanya, sejak tinggal dan bekerja di negara ini, dia tidak pernah berdepan dengan masalah yang membabitkan undang-undang negara.

“Saya datang ke Malaysia mencari rezeki untuk masa depan sendiri dan keluarga yang juga memerlukan perbelanjaan bagi meneruskan kehidupan.

“Selain mempunyai banyak peluang pekerjaan di sini, rakyat di negara ini juga hidup saling menghormati malah membuat kami sebagai pekerja asing dapat tinggal dan bekerja dengan selesa,” katanya.

Setakat malam tadi, Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dalam satu kenyataan berkata, seramai 39 PATI yang lolos dari depot berkenaan sudah ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini