Tumpuan :
Nasional

‘Kalau dah lain berbeza logo dan tema, macam mana nak ada kesatuan’ – Menteri Hal Ehwal Agama

SEMENYIH: Semua pihak terutamanya parti politik didesak mengetepikan isu kepartian menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata sukar untuk mewujudkan perpaduan
sekiranya logo dan tema sambutan Hari Kebangsaan juga berbeza di antara peringkat negeri dan nasional.

“Itu kuasa negeri (untuk guna logo dan tema berbeza), namun harapan saya sebagai menteri agama yang sentiasa menganjurkan kesatuan dan perpaduan, biarlah sambutan kemerdekaan yang bersejarah ini disambut bersama.

“Itu adalah asasnya, tapi kalau dah lain (berbeza logo, tema), macam mana nak ada kesatuan,” katanya selepas melancarkan Program Kemasyarakatan & Usrah Bimbingan Pemantapan Asas Fardu Ain (Bimbingan Akademi Daie Muda YADIM) Bersama Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2023 di Masjid Bandar Rinching, di sini.

Mohd Na’im merujuk kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari mengenai kemungkinan gabungan itu akan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan berbeza untuk sambutan peringkat negeri di Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PN.

Artikel berkaitan: [VIDEO] Siasat empat negeri guna logo, tema Hari Kebangsaan berbeza – Fahmi 

Logo diperkenalkan Pemuda PN berteraskan bunga raya dengan lima kelopak yang menjadi bunga kebangsaan serta mengambil elemen warna yang terdapat pada Jalur Gemilang, dengan tema ‘Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera’.

Mohd Na’im berkata, semua parti politik sebaik-baiknya bersatu hati dan menterjemahkan perpaduan, apatah lagi ia berkait rapat dengan kemerdekaan negara.

“Hasrat kita supaya wujudnya perpaduan dan kesatuan dalam semua perkara. Maknanya, kalau kita nak sambut hari kemerdekaan ini, kalau boleh biar bersatu semua. Pada masa sama, ketepikanlah isu parti,” katanya.

Ditanya sama ada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan memanggil wakil PN bagi meleraikan isu itu, Mohd Na’im berkata, setakat ini pihaknya belum memikirkan langkah sedemikian.

Loading...
Terkini