
Oleh: Kumaran Rajamoney
PARIT: Ibu kepada dua mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Perak, di Kampung Tepus di sini reda dengan kejadian yang menimpa anak mereka petang semalam.
Bagaimanapun, mereka mahu kedua-dua mangsa ditemui meskipun mereka dalam keadaan tidak bernyawa.
Norhidayah Mohd Shahbidin, 42 berkata, anaknya Muhammad Nazrin Haidar Mohd Hisham sering ke kawasan beting pasir di situ pada waktu petang.

“Lazimnya pada waktu petang ada orang dewasa berada di situ. Tapi pada petang semalam mereka ke sana lebih awal.”
“Nazrin sempat memaklumkan yang dia sudah memotong rambut. Selepas perbualan ringkas itu, dia sempat minta izin untuk keluar,” katanya.
Norhayati Ramlly, 46 pula menjelaskan anaknya, Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain menunjukkan rasa gembira kerana mendapat kasut sekolah baharu.
“Dia minta saya belikan kasut putih, sebab selama ini sering berkasut hitam. Dia nampak sangat gembira sehingga melompat kegirangan. Sesi persekolahan yang bermula semalam, dia memakai kasut yang saya belikan itu.”
“Aiman anak yang baik dan sering membantu saya dalam urusan perniagaan. Harapan kak, kalau boleh jumpa petang ni. Biarlah mayat dia pun, jasad dia pun tak apa. Saya reda,” katanya sebak.
Semalam, dua remaja berusia 16 tahun itu dilaporkan lemas ketika cuba mengambil bola yang terjatuh dalam sungai berkenaan.
Bomba menerima laporan kejadian berkenaan pada 4.21 petang daripada orang awam.

Usaha pencarian diteruskan dengan radius diperluaskan hingga lima kilometer (km) dari lokasi kejadian melibatkan 25 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis, Pangkor, Seri Iskandar dan Kuala Kangsar serta polis dan penduduk sekitar.
Pencarian turut dibantu khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) serta Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BBP Pangkor.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.