comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Kakitangan TNB maut dalam nahas 

 

DUNGUN : Seorang juruteknik kanan Tenaga Nasional Berhad TNB maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 22, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Padang Pulut, petang tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 3.50 petang, Sukri Md Said@Awang, 42, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang bekas guru dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun dengan kereta perodua kancil dipandu mangsa.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke pejabatnya di Bandar Al Muktaffi Billah (AMBS).

Sebaik tiba di lokasi nahas, kenderaan pacuan empat roda terbabit dipercayai terbabas ke kanan jalan lalu bertembung dengan kereta mangsa yang datang dari arah bertentangan.

Pertembungan menyebabkan kenderaan pacuan empat roda terbabit berpusing sebelum terbalik.

Foto : NSTP

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shahrizal Shamsudin berkata, pihaknya yang menerima panggil kira-kira jam 4 petang bersama lapan anggota bergegas ke tempat kejadian.

Sebaik tiba, pihaknya mendapati pemandu kereta perodua kancil tersepit di tempat duduk sementara pemandu pacuan empat roda dikeluarkan orang awam.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Dungun- Foto : NSTP

“Kita mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Bagaimanapun pemandu pacuan empat roda terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Punca sebenar nahas masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini