comscore
Tumpuan :
Nasional

Kakitangan awam yang malas tidak layak terima kenaikan lebih 13 peratus – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan amanat pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. FOTO: NSTP

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana penjawat awam yang tidak mempamerkan prestasi yang baik, pemalas dan sering lewat datang kerja, tidak layak menerima kenaikan lebih 13 peratus seperti yang dimumkan beliau hari ini.

“Kalau rekod pekerjaannya tak membanggakan, malas, sering lambat dan tidak beri tumpuan yang baik, tidak layak diberi ganjaran seperti yang dijanjikan kerajaan.”

“Ini tanggungjawab kita bersama baik persatuan atau rakan di jabatan untuk pastikan dua, tiga orang yang lembap ini biar dia kekal di jawatan (sedia ada) selama-lamanya,” katanya.

Antara yang hadir pada sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya. FOTO: NSTP

Perdana Menteri hari ini mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam melebihi 13 peratus bermula 1 Disember ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan Pekerja Kesuma Bangsa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan Sabah dan Sarawak bersetuju membuat pindaan ke atas Ordinan Buruh Sabah (Ordinan Cap 67) dan Sarawak (Ordinan Bab 76) untuk diselaraskan dengan Akta Kerja 1955 yang terpakai di Semenanjung Malaysia.

Jelasnya, Rang Undang-Undang (RUU) Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2024 dan RUU Ordinan Buruh Sarawak akan dibentangkan pada sidang parlimen akan datang.

“Jadi akan nampak dari segi kepentingan pekerja di Semenanjung, Sabah dan Sarawak (berada) dalam satu garisan yang sama.”

“Ini termasuk umpamanya dari segi cuti bersalin, cuti paterniti, peruntukan aduan diskriminasi, perlindungan daripada gangguan seksual dan peruntukan mengenai aduan,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berharap sektor swasta dapat mencontohi langkah kerajaan menaikkan gaji penjawat awam seperti yang diumumkannya hari ini.

Katanya, ada pihak swasta yang mencatatkan keuntungan berganda hasil daripada produktiviti dan pengorbanan pekerja mereka.
“Ini sebagai langkah permulaan, pihak swasta (diharap dapat) meningkatkan gaji pekerja mereka.”

“Ada syarikat besar yang mencatat keuntungan berganda daripada produktiviti (pekerja). Apa salahnya kalau syarikat untung berjuta bagi lah sedikit kepada pekerja,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini