comscore
Tumpuan :
Nasional

Kaki warga emas penangkap udang galah cedera akibat dibaham buaya

Nurkaisa Ausad, 65, cedera di kaki kanan digigit buaya ketika menyerkap udang galah di Sungai Timun, Lubok Cina, Alor Gajah dibawa orang ramai untuk rawatan. – Foto ihsan IPD Alor Gajah

ALOR GAJAH: Wanita warga emas cedera di kaki kanan akibat dibaham buaya ketika menangkap udang galah menggunakan serkap di Sungai Timun, Lubok Cina, dekat sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, pihaknya menerima laporan kejadian oleh anak mangsa yang dihubungi rakan ibunya, kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku pada 1 September lalu, kira-kira jam 4 petang semasa mangsa, Nurkaisa Ausad, 65, menangkap udang galah di perairan Sungai Timun bersama beberapa nelayan lain.

“Berdasarkan laporan, semasa ibunya turun ke sungai tidak jauh dari perahu yang dinaiki untuk menyerkap udang galah tiba-tiba mangsa digigit oleh seekor buaya.

“Mangsa meronta-ronta dan terlepas dari gigitan buaya dan semasa menyelamatkan diri kepalanya terhantuk bucu perahu dan cedera,” katanya.

Arshad berkata, rakan nelayan yang berada di tempat kejadian segera menyelamatkan mangsa dan membawanya ke darat sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika ditemui semalam Nurkaisa berkata, pada mulanya dia menyangka digigit ikan toman kerana diketahui ada toman besar di situ.

“Bila menyelam dan terpegang muncung dan hidungnya, …baru mak cik tahu ia adalah buaya,” katanya.

Mengimbau detik cemas itu, Nurkaisa berkata, perahunya berada di hadapan perahu lain.

“Sebaik mula menimba air dari dalam perahu, kaki kanan saya yang terjuntai dalam air disambar sesuatu dan ditarik ke sungai.

“Mujur saya sempat memegang tali bot dengan kuat hingga buaya itu tidak dapat mengheret saya ke tengah sungai.

“Dalam kesakitan itu mak cik mengendurkan sedikit tali perayu dan menyelam sebelum terpegang bahagian hidung buaya itu.

“Mak cik pegang sekuat hati bahagian hidung buaya itu dan meronta-ronta hingga ia melepaskan gigitan,” katanya yang cedera dari tumit hingga keting.

Menurut Nurkaisa, sepanjang hampir 20 tahun menangkap udang galah di sungai berkenaan untuk dijual kepada peraih, itu kejadian pertama dia diserang buaya.

“Sama ada serik atau tidak untuk mencari udang galah lagi, saya tidak pasti,” katanya yang kematian suami sejak sembilan tahun lalu dan mempunyai empat anak.

Loading...
Terkini