Tumpuan :
Nasional

Kaki OOTD patut cuba port ‘healing’, ‘ngopi’ dalam gua

 

Pengunjung tidak melepaskan peluang mengambil gambar kelawar.

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

PADANG BESAR: Trend ‘healing’ dan bersantai menikmati kopi ibarat satu padanan yang sudah cukup serasi.

Pantai, hutan dan ke mana sahaja ‘ceruk’ yang indah pasti menjadi ‘port’ kaki healing melayani ketenangan alam.

Namun, pasti tidak terbayang bagaimana pula nikmatnya dapat menghirup secangkir kopi bru di dalam gua batu kapur yang dingin suasananya.

Bayangkan duduk berbumbung dan berdindingkan batu kapur dengan suasana disekelilingnya yang sunyi.

Dari jauh, sayup kedengaran lagu-lama yang diputarkan dari sebuah radio antik.

Pengalaman penuh misteri itu dapat dirasai di sebuah cafe Kupi Kahpi yang terletak di Bukit Tau Adventure Park di Beseri, disini.

Pemilik Bukit Tau Adventure Park, Suhair Yaacob, 49, yang juga pengusaha cafe dalam gua Kupi Kahpi.

Pemiliknya, Suhair Yaacob, 49, berkata dia mengusahakan tanah pusaka seluas 14 ekar itu bersama adik-beradiknya yang berhasrat menghabiskan usia tua di kampung setelah lama berkelana di ibu negara.

Walaupun belum sebulan beroperasi, cafe itu menerima kehadiran sehingga 150 orang pengunjung dalam sehari.

“Saya punya main target adalah golongan muda sebab sekarang zaman budak-budak muda berOOTD. So lepas OOTD diorang minum kopi dan ambik gambar,” katanya.

Mohd Said Salim, antara pengunjung dari Bangi yang datang semata-mata untuk menikmati kopi di kafe itu.

Cafe yang berkonsepkan santai itu tidak menyajikan menu bergoreng yang dimasak di situ bagi menjaga kebersihan kawasan di dalam dan persekitaran gua.

Buat masa ini hanya pelbagai kopi bru, ABC dan roti bakar yang dijual namun perancangan masa hadapan adalah menambah waffle di dalam senarai menu.

Menurut Suhair, kawasan gua ini dibersihkan sejak dia dan keluarga pulang ke Perlis pada tahun 2020.

“Saya mula dengan menambak tanah supaya jalannya rata, yang itu saya buat sikit-sikit guna duit hasil padi dan jualan harumanis… Tiga tahun juga mengusahakan kawasan ni sebelum cantik macam ni.

“Alhamdulillah sekarang musim panas jadi bau kelawar tu kurang, lagi pun sebelum bukak kedai saya bakar daun-daun kering so asap tu dia menghilangkan bau kelawar tu…

“Saya juga letakkan lilin serai wangi dalam gua ni untuk keselesaan pengunjung dan plan seterusnya saya nak tanam pokok yang ada hasil seperti tebu dan serai dekat tepi-tepi ni nanti,” jelasnya.

Gua terbabit mempunyai 6 pintu masuk dan pengudaraannya juga baik.

“Best rasa selesa dan sejuk,” ujar pengunjung cilik dari Selangor, Aisyah Az Zahrah Mohd Rais Fitri.

Kawasan ini dibuka setiap hari kecuali Jumaat bermula antara 10 pagi hingga 7 petang.

Bagaimanapun cafe akan ditutup sepanjang Ramadhan nanti dan hanya aktiviti ekstrem ATV yang diusahakan bersama adik-beradiknya yang akan dibuka.

Loading...
Terkini