
ALOR SETAR: Suasana di sebuah kompleks beli belah di sini, hari ini, cemas apabila kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tersepit pada eskalator, hari ini.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu berjaya diselamatkan dengan bantuan pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Wan Azizul Hakim Wan Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 8.49 malam.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Jalan Raja yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Khairuddin Abu Bakar bersama empat anggota tiba di lokasi kejadian.
“Sebaik tiba didapati kaki kanan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun tersepit pada eskalator.
“Kaki mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat,” katanya di sini hari ini.
Wan Azizul Hakim berkata, mangsa berjaya distabilkan oleh pasukan bomba dan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Beliau berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada ibu bapanya dan kes dirujuk ke hospital swasta berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.
“Operasi tamat pada jam 9.24 malam,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.